Jabatan Bantuan Guaman nafi tiada 'taring'

Foto hiasan – Unsplash

KUALA LUMPUR — Jabatan Bantuan Guaman (JBG) tidak pernah mengambil mudah setiap kes diadukan rakyat, namun masih menerima tanggapan negatif kononnya khidmat agensi itu seperti ‘melepas batok di tangga’ hingga didakwa sering kalah di mahkamah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norazmi Mohd Narawi mengakui sudah lama wujud tanggapan sedemikian sedangkan pegawainya dan panel peguam swasta yang dilantik, tidak pernah sambil lewa dalam membantu rakyat memerlukan yang menggunakan khidmat jabatan itu.

Beliau juga mengakui ada sesetengah pihak mendakwa JBG tiada ‘taring’ dan mempersoalkan kredibiliti pegawai undang-undang jabatan itu, termasuk peguam panel yang dianggap tidak arif mengendalikan kes litigasi, sekali gus berisiko kalah besar.

“Aspek kualiti peguam panel sentiasa diberi perhatian menerusi kursus dan sebagainya bagi memastikan mereka setanding dengan peguam swasta. Proses ‘naik taraf’ peguam panel JBG sentiasa dilaksanakan dengan kemahiran dan pengetahuan, antaranya dari segi penyediaan dokumen penghujahan yang berkualiti.

“Pemfailan tuntutan itu mesti berkualiti, itu sebab kita ada garis panduan dan memang melatih pegawai untuk pastikan tuntutan itu berkualiti. Sebabnya kita tak nak kes dibuang kerana isu teknikal, dibuang kerana penulisan dokumen tindakan yang sudah sendirinya lemah, terutama dalam penulisan afidavit.

“Afidavit misalnya, kalau tak tulis betul-betul, akan (buka) ruang untuk diserang. Yang lain tinggal bagaimana bentang kes dan berhujah di mahkamah,” katanya dalam temu bual dengan BH dan menambah, peguam JBG pernah berdepan lawan hebat dan menang kes, antaranya kerana hujahan berkualiti.

“Kelebihan dari segi percakapan tiada makna jika hujahan bertulis yang dikemukakan tiada kualiti. Kebanyakan peguam nampak hebat bercakap, tapi sebenarnya yang lebih penting bagaimana anda menyediakan hujahan bertulis berkualiti.

“Sebab pada hujungnya, di mahkamah, walaupun dengar cakap hebat sekali pun, tapi andai kata hujahan bertulis tak berkualiti, tak guna juga. Ini berdasarkan pengalaman peribadi, kita pernah lawan peguam hebat, tapi kenapa boleh menang.

“Sebab kita jaga dari awal semasa buat (pemfailan) tuntutan, semasa kita mengendalikan perbicaraan, semasa kita buat hujahan. Jadi pakej itu yang hendak dijaga,” jelasnya sambil menambah antara aktiviti untuk memantapkan peguam panel JBG adalah kursus.

Antaranya adalah kursus berkaitan perundangan tanah dan Norazmi mengakui masih ada pegawai dan peguam panel jabatan itu tidak dilengkapi pengetahuan mengenai hal ehwal undang-undang berkait tanah.

“Kita nak pastikan pegawai kita berpengetahuan semasa memberi khidmat nasihat dan mengendalikan kes pemilikan tanah. Macam mana nak buat kes yang bagus sedangkan anda sendiri tak biasa dengan undang-undang tanah,” katanya.

Katanya, ia antara reformasi JBG yang selama ini hanya dikaitkan dengan khidmat bantuan guaman kes jenayah dan syariah, selain menyambut saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya khidmat JBG dipelbagaikan.

Berdepan lambakan kes

Selaras reformasi berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan JBG bakal berdepan lambakan kes, mencakupi kes jenayah, sivil dan syariah, pada masa sama, turut menghadapi kekangan sumber manusia yang kini disokong peguam panel dari sektor swasta.

“Setakat 10 Mei lalu, ada 164 pegawai undang-undang berkhidmat di seluruh negara. Ia terdiri 39 pegawai undang-undang termasuk pengurusan tinggi, 32 pegawai syariah, 65 penolong pegawai undang-undang dan 28 penolong pegawai syariah,” katanya.

Kekangan tenaga kerja, katanya, boleh diatasi melalui lantikan peguam swasta, termasuk peguam syarie kerana Ketua Pengarah JBG diberi kuasa membuat lantikan peguam panel bagi mengendalikan kes dengan kadar bayaran tertentu.

“Bagaimanapun, bayaran itu ada hadnya dan antara punca utama tidak ramai peguam swasta jadi peguam panel JBG, hanya beberapa ratus setakat ini. Jadi, ini juga salah satu reformasi diminta Datuk Seri Azalina, bagaimana kita nak galakkan peguam swasta jadi peguam panel JBG, memang kita nak tambah.

“Mengambil contoh di Selangor, ada lebih kurang 8,000 firma guaman, tapi peguam panel berdaftar dengan kita hanya beberapa ratus. Masih belum ramai sedangkan kita mungkin berhadapan dengan lambakan kes.

“Banyak faktor (JBP tiada ramai peguam panel), tapi faktor paling besar yuran guaman sebab kita dikawal oleh peraturan. Ini wang awam, jadi yuran (termaktub) dalam peraturan tidaklah setinggi peguam swasta. Namun, masih ada peguam swasta yang komited untuk kerja bantuan guaman ini,” katanya.

Bagi menambah peguam panel, Norazmi memaklumkan, antara langkah JBG adalah bekerjasama dengan Majlis Peguam Selangor.

Beliau juga menjelaskan, sejak ditubuhkan pada 1970-an, kes didaftarkan di JBG setakat April lalu adalah sebanyak 1,075,213, kebanyakannya kes syariah dan daripada jumlah itu, sebanyak 99.3 peratus berjaya diselesaikan, manakala baki 7,563 lagi belum selesai.

BH ONLINE