CARDIFF (Wales) — Sekumpulan penyelidik Universiti Cardiff yakin isyarat daripada mikrofon bawah air boleh menjadi petunjuk untuk mencari penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang 10 tahun lalu.
Kumpulan penyelidik itu percaya mereka mampu mengenal pasti isyarat daripada hidrofon (mikrofon bawah air) pada laluan terakhir pesawat itu di selatan Lautan Hindi.
Ini memandangkan kesan lautan ganas seperti nahas yang berlaku pada pesawat Boeing 777-200 mampu mencipta bunyi akustik yang boleh merentasi air ke hidrofon di dasar laut.
Portal Independent dari United Kingdom melaporkan, penyelidik berkata, sekiranya kapal terbang itu terhempas pada kelajuan 200 meter sesaat, mereka menganggarkan nahas itu akan mengeluarkan tenaga kinetik seperti gempa bumi kecil.
Sebelum ini, kawasan ketujuh zon carian rasmi, iaitu MH370 dianggap terhempas terletak kira-kira 2,000 kilometer (km) dari stesen hidroakustik di Cape Leeuwin, Australia.
Ini susulan isyarat enam saat yang lemah dari pesawat itu direkodkan di Cape Leeuwin dalam jangka masa yang dicadangkan oleh pencarian, tetapi penyelidik berkata, isyarat lain mungkin disahkan berkaitan jika usaha untuk mengesan pesawat itu dikaji semula.
Sebuah lagi stesen hidroakustik, Diego Garcia di Lautan Hindi juga beroperasi pada masa kehilangan MH370.
Akhbar The Telegraph kelmarin melaporkan penyelidik Britain mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat MH370, yang hilang di Lautan Hindi 10 tahun lalu.
Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.
Sementara itu, profesor di Sekolah Matematik Universiti Cardiff, Dr Usama Kadri, berkata analisisnya menunjukkan isyarat tekanan yang jelas daripada nahas pesawat sebelum ini dikesan pada hidrofon, walaupun pada jarak melebihi 3,000 km.
“Dalam kes MH370, penyiasatan rasmi menyimpulkan pesawat itu mesti terhempas berhampiran tempat ketujuh pencarian, iaitu komunikasi terakhir di antara pesawat dan INMARSAT (syarikat telekomunikasi satelit) berlaku,” katanya.
Berikutan penemuan itu, penyelidik meminta pihak berkuasa untuk menjalankan kajian lapangan termasuk letupan terkawal atau senapang udara di sepanjang kawasan itu, untuk memantau kesan ke atas isyarat yang diterima di stesen hidroakustik berdekatan.
Kajian itu, yang diterbitkan pada Mei, merujuk misi mencari dan menyelamat 2017 kapal selam tentera laut ARA San Juan yang hilang di luar pantai Argentina.
Teknologi hidroakustik membantu mengesan kapal itu pada ketinggian 3,000 kaki di Atlantik Selatan, setahun selepas ia meletup menggunakan bom tangan untuk meniru bunyi letupan dan rujukan silang pada masa kehilangan kapal selam itu.
Dr Kadri berkata, malangnya mereka tidak dapat mencari isyarat dengan pasti yang diperlukan untuk melancarkan pencarian baharu bagi pesawat yang hilang itu.
“Jika cadangan itu disetuju oleh pihak berkuasa yang berkenaan, kita boleh menilai kaitan isyarat yang diperhati, yang berpotensi memberi penerangan tentang tempat MH370,” katanya.
Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai kehabisan minyak dan terhempas ke dalam lautan, selepas melencong daripada perjalanan Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Walaupun pencarian meluas meliputi lebih 119,140 kilometer persegi, hanya 18 serpihan pesawat ditemui terdampar.
BH ONLINE (AGENSI)