Ismail Sabri kini suspek, bukan saksi – Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram disiasat agensi itu dan bukan lagi sebagai saksi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ia susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safehouse’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Justeru, beliau berkata antara tindakan dilakukan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan itu ketika ini adalah meminta beliau melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.

“Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ berkenaan mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.

“Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).

“(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu,” katanya.

Sebelum ini, SPRM dilapor akan memanggil 10 lagi saksi dalam siasatan pengisytiharan harta berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.

Ia susulan penahanan empat individu termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri, manakala Ahli Parlimen Bera itu dipanggil SPRM minggu lalu.

Terdahulu, SPRM mendedahkan wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’ berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera itu.

Sementara itu, Azam berkata Ismail Sabri akan dipanggil semula oleh SPRM Rabu ini untuk diambil keterangan lanjut.

“Beliau sudah dipanggil pada 11 Februari lalu dan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat selama beberapa jam, iaitu antara empat ke lima jam.

“Sehari sebelum itu, beliau sudah menyerahkan pengisytiharan harta,” katanya.

Ditanya mengenai fokus siasatan terhadap jumlah dana kerajaan RM700 juta yang disiasat, Azam berkata pihaknya masih menyiasat penyelewengan sebenar.

Beliau turut menafikan bahawa siasatan terhadap Ismail Sabri bersifat ‘terpilih’ atau bermotifkan politik semata-mata.

“Kita siasat secara profesional dan adil, malah SPRM tidak melakukan tindakan berdasarkan jawatan dan kedudukan,” katanya.

BH ONLINE

ad