Ingkar arahan penerbit, tak ikut skrip faktor khidmat Ustaz Don dihentikan – Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR — RTM menamatkan khidmat Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai pengacara program Salam Baitullah selepas beliau mengulangi perbuatan ingkar arahan penerbit dan tidak patuh skrip.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, sebagai pengacara, Ustaz Don sepatutnya patuh kepada skrip dan tidak memetik mana-mana kitab atau hadis ketika bersiaran.

“Tugas Ustaz Don adalah mengacara, bertanya soalan, ikut skrip dan jauhi kontroversi. Beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara ini berkali-kali.

“Ustaz Don tidak ditugaskan untuk menganalisa atau memetik kitab, ikut sahajalah arahan diberi. Kami hentikan penampilan Ustaz Don dalam Salam Baitullah kerana beliau tidak patuh pada skrip.

“Salam Baitullah bukan rancangan agama. Ini adalah program perkhabaran ibadat haji, iaitu bagaimana keadaan jemaah kita di sana dan situasi di Makkah. Itu yang sepatutnya ditanyakan, bukan mengutarakan pandangan sendiri yang kita pun tidak pasti betul atau tidak,” katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.

Suhaimi mengulas kenyataan Ustaz Don pada sidang media tergempar di Putrajaya, malam tadi, yang mendakwa salah faham berkaitan memetik hadis lemah menjadi punca dirinya disingkirkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah.

Ustaz Don turut menafikan beliau mengingkari arahan RTM apabila sekali lagi memetik hadis lemah ketika bersiaran di TV1, kelmarin, seperti didakwa.

Suhaimi berkata, jika RTM terus biarkan Ustaz Don bersiaran, dikhuatiri membawa masalah kepada stesen penyiaran itu.

“Saya dahulu ada pengalaman 30 tahun sebagai pengacara. Saya ikut cakap penerbit. Saya sudah banyak kali berpesan kepada Ustaz Don dia perlu berhati-hati sebab ramai yang memerhatikan dirinya.

“Kami tidak memihak kepada sesiapa pun. Macam yang saya katakan, kalau beliau hendak petik hadis atau kitab ketika kendalikan program, beritahu kami dahulu.

“Apabila perkara yang disebut tiada dalam skrip, keadaan itu bahaya sebab kecenderungan keluar perkara yang bukan-bukan.

“Pihak yang kena bertanggungjawab adalah kami kerana RTM penyiar. Kalau Ustaz Don mahukan kebebasan untuk buat apa yang beliau suka, buatlah di platform media sosial sendiri,” katanya.

Suhaimi mengulangi pendirian Ustaz Don sepatutnya akur kepada skrip asal dan jika mahu memetik kitab atau hadis, perkara itu perlu dimaklumkan kepada penerbit agar semakan dapat dibuat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kesahihan.

Sehubungan itu, Suhaimi menyangkal dakwaan RTM merehatkan Ustaz Don daripada mengendalikan program Salam Baitullah tanpa melakukan siasatan menyeluruh atau mendapat maklumat daripada sebelah pihak sahaja.

BH ONLINE