SEPANG — Jabatan Imigresen menjadi jabatan penguat kuasa paling banyak yang terima aduan isu salah laku integriti kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), pada tahun ini.
Aduan mengenai imigresen adalah sebanyak 38 kes, diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (21), Jabatan Kastam Diraja Malaysia/JKDM (18), Jabatab Perikanan (16), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (16), Jabatan Pendaftaran Negara (13) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna/KPDN (13).
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata sebanyak 176 aduan diterima oleh pihaknya pada tahun ini.
Katanya, antara aduan utama yang dikenal pasti ialah mengenai aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya iaitu sebanyak 59 aduan, selain tindakan tidak mengikut prosedur operasi standard atau SOP (37), salah guna kuasa (24), tiada klasifikasi/tiada salah laku (23) dan rasuah (19).
“Sejumlah 90 aduan sudah diambil tindakan dengan beberapa syor yang bersesuaian termasuklah mempercepatkan pemberhentian kerja,” katanya.
BH ONLINE