PETALING JAYA — Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh di Damansara Damai di sini pada 6 Disember lalu, disahkan sedang menjalani rawatan psikologi.
Peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu kepada kanak-kanak itu, berkata anak guamnya dan suaminya sedang menjalani rawatan terbabit akibat tekanan perasaan dialami mereka selepas tragedi menimpa anak sulong pasangan itu enam bulan lalu.
“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) lagi. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.
“Saya percaya juga dari awal kes sudah dapatkan rawatan terutama ibu bapa kepada Zayn Rayyan. Apatah lagi mempunyai anak autisme seorang lagi iaitu Mateen,” katanya ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.
Turut sama dalam sidang media berkenaan adalah peguam mewakili bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin.
Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.
Zaim Ikhwan yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira berbaju merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Ketika ditanya mengenai keadaan anak guamnya, Mahmud berkata kedua-dua mereka gembira sebaik prosiding hari ini berakhir.
“Alhamdulillah, mereka gembira dan puas hati dengan siasatan PDRM. Harapan mereka sama seperti orang ramai mahukan iaitu keadilan buat Zayn Rayyan,” katanya.
Kata beliau, pasangan suami isteri ditetapkan oleh pihak mahkamah untuk membayar wang jamin RM10,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
BH ONLINE