KLANG — Guru tadika dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, bulan lalu.
Hukuman itu dijatuhi Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas tertuduh M Malini, 25, membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Siti Zubaidah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Malini didakwa dengan sengaja mencederakan kanak-kanak lelaki itu dengan cara memukul di bahagian pipi dan belakang badan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah tadika di Jalan Pandamaran dekat sini, jam 9.36 pagi, 13 Mei lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh pada awalnya tidak diwakili peguam, ketika diberi ruang mitigasi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana berasal daripada keluarga B40 selain dia sudah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
“Saya juga anak sulung dan menanggung keluarga dengan gaji RM1,700. Saya minta maaf kerana tertampar (mangsa),” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ching Hong memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kerana sebagai seorang guru tadika tertuduh perlu menunjukkan kasih sayang dan bukan bertindak memukul kanak-kanak sehingga lebam pada pipi serta belakang badan.
“Situasi itu juga menyebabkan trauma kepada mangsa. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh,” jelasnya.
Bagaimanapun, selepas hukuman dijatuhkan, tertuduh kembali semula ke galeri mahkamah bagi prosiding berlainan selepas melantik peguam, A Birantha bagi memohon kebenaran menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan hukumannya diputuskan di Mahkamah Tinggi kelak.
Menurut peguam, Malini tidak mendapat nasihat berkenaan prosiding hari ini dan anak guamnya itu diberitahu oleh keluarganya bahawa hukuman yang akan dikenakan hanyalah denda.
“Pada pagi tadi juga saya percaya tiada siapa mewakili tertuduh dan dia diberitahu hanya akan dikenakan hukuman denda. Anak guam saya juga baru berkahwin pada April lalu dan menjaga ibu bapanya,” jelasnya.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, sebaliknya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Majistret kemudian membenarkan permohonan tertuduh dan menetapkan jaminan pada jumlah yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pipi dipercayai dipukul oleh gurunya dekat sebuah tadika di Pandamaran, di sini, pada 13 Mei lalu.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa belajar di tadika berkenaan dan pada waktu pagi hari kejadian ketika berada di dalam kelas, mangsa membuang air besar di dalam seluarnya.
Guru berkenaan kemudian mengarahkan kanak-kanak itu untuk pergi ke bilik air, bagaimanapun kanak-kanak tersebut berkeras dan enggan bangun dari kerusi sehingga menyebabkan guru berkenaan bertindak memukul mangsa di bahagian pipi.
BH ONLINE