Enam jemaah haji Malaysia meninggal dunia selepas wukuf

MAKKAH — Seramai enam lagi jemaah haji Malaysia di Tanah Suci meninggal dunia menjadikan 14 kematian setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, semua jemaah itu sempat melakukan ibadah wukuf dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.

Mereka ialah Bawi Solek, 75, dari Kampung Hilir Pusa, Sarawak; Raksan Matasil, 74, (Kota Kinabalu, Sabah); Madon Mohamed, 71, (Masai, Johor); Roba’ayah Yusoff, 71, (Beruas, Perak); Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, (Sauk, Perak); dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

“Pihak hospital Arab Saudi dan petugas TH (Lembaga Tabung Haji) telah membantu waris kepada Allahyarham yang meninggal ini dan waris mereka yang berada di tanah air juga telah dimaklumkan.

“Saya bagi pihak pengurusan TH ingin ucapkan takziah kepada waris yang telah meninggal di Makkah ini dan bersama-samalah kita mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh,” katanya dalam sidang media penutup musim haji 1445H/2024 di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi.

Pada masa sama, setakat ini seramai 93 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dengan 11 daripada mereka ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King Abdulaziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering.

BH ONLINE (BERNAMA)