JERANTUT – Sebuah keluarga diuji perkhabaran duka pada hari pertama Ramadan apabila seorang ahli mereka yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) kategori lembam ditemui maut di Sungai Siam, FELDA Kota Gelanggi Tiga, di sini, hari ini.
Mayat mangsa yang juga anak yatim piatu, Muhammad Amir Mursyid Shamli, 16, dijumpai terapung di sungai itu sekitar jam 11.55 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar itu didakwa lemas ketika mandi sungai bersama dua rakannya, kira-kira jam 1.30 tengah hari Jumaat lalu.
Berdasarkan keterangan awal, beliau berkata, bapa saudara mangsa memaklumkan telah mengambil pelajar itu di asrama sekolah untuk pulang ke rumah di FELDA Kota Gelanggi Satu, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Setelah tiba di rumah, mangsa didakwa keluar semula untuk pergi menunaikan solat Jumaat di masjid kawasan FELDA itu.
“Selepas itu, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah. Namun, ahli keluarganya didakwa tidak menyedari mangsa tiada di rumah,” katanya.
Zukri berkata, saksi dan dua rakan mangsa mendakwa bahawa pelajar itu lemas ketika mandi di sungai berkenaan, namun mereka tidak berani membantu kerana takut turut lemas.
“Saksi dan dua rakan itu didakwa terus pergi dari tempat kejadian serta tidak melaporkannya kepada sesiapa hinggalah mayat mangsa ditemui pada pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata, semua saksi kejadian itu telah dipanggil ke Balai Polis Jerantut bagi rakaman percakapan dan siasatan masih diteruskan.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Fakhruddin Abdul Wahab, 51, berkata beliau mengetahui akan penemuan mayat pelajar berkenaan daripada penduduk di situ.
“Seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan utama dikatakan ternampak mayat itu terapung kira-kira 30 meter dari jalan utama, kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Sejurus mengetahui perkara itu, saya terus ke tempat kejadian dan mendapati mayat adalah anak saudara saya.
“Saya melihat selipar yang dipakai mangsa terletak kira-kira 15 meter dari lokasi mayat ditemui,” katanya.
Fakhruddin berkata, sebelum itu pihaknya menyangka mangsa tidak berada di kediaman kerana pergi ke rumah saudara yang lain di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, beliau reda kehilangan anak saudaranya pada hari pertama Ramadan.
BH ONLINE