KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi masa kepada syarikat konsesi untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kerosakan infrastruktur yang menyebabkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.
Beliau berkata, syarikat penyelenggaraan berkenaan sudah diarahkan berbuat demikian, namun setakat ini Kementerian Kerja Raya (KKR) masih belum menerima laporan itu.
“Saya belum menerima (punca laporan kerosakan jalan) itu lagi tetapi kelmarin saya bersama pegawai ke pejabat konsesi dan sudah memohon daripada mereka untuk membuat laporan itu dan dihantar kepada KKR.
“Jadi saya beri sedikit masa untuk mereka membuat laporan itu,” katanya kepada pemberita sejurus meninjau keadaan trafik sempena perayaan Aidilfitri di Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini hari ini.
Pada 21 Mac lalu, dua beradik maut selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara dalam perjalanan ke sekolah.
Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya yang membonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16, parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
BH ONLINE