Dua beradik didakwa bunuh pekerja cuci kereta, tetak pengawal keselamatan

SUNGAI PETANI — Tiga lelaki termasuk dua beradik didakwa di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini, kerana membunuh seorang pekerja kedai mencuci kenderaan dan menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera parah pada 15 Ogos lalu.

Di Mahkamah Majistret, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas V Mathavan, 36, V Navin Kumar, 27; dan R Puvaneswaran, 31, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama dua suspek yang masih bebas telah melakukan pembunuhan terhadap S Naarenthiran, 28, di lorong belakang kedai Snow Car Wash, Taman Bedong Jaya dekat sini, antara jam 2.15 hingga 2.30 pagi pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Nurain Safinah Minhat, manakala semua tertuduh diwakili peguam, P Vaasudevan.

Mahkamah kemudian menetapkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan 26 September depan, sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memindahkannya ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara berdasam dua suspek yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap J Dinesh, 29, di tapak kosong Kampung Toh Pawang, Bedong pada jam 2 pagi tarikh yang sama.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Sekysen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini, manakala semua tertuduh diwakili peguam, P Vaasudevan.

Roslan kemudian menetapkan 26 September depan, sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja kedai mencuci kereta maut akibat diserang lima lelaki bersenjatakan parang dan seorang pengawal keselamatan parah di badan dan kepala akibat ditetak sekumpulan lelaki.

Berikutan itu, seramai lapan lelaki berusia antara 20 hingga 30-an ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos lalu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BH ONLINE

Just Pic