KUCHING – Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan sepasukan mereka, 24 Mac lalu.
Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana membunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara jam 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.
Kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet kemudian memohon ditetapkan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.
Ashok membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Tertuduh kedua diwakili peguam Ranbir Singh dan tertuduh pertama tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi 24 Mac lalu, Muhammad Muqriz, dilaporkan sedang tidur di berek bujang Kem Sri Miri apabila dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun sebelum bersahur, anggota senior terbabit dikatakan mengarahkan mangsa untuk melakukan aktiviti ‘commando rest’ (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi 20 kali.
Mangsa yang berpeluh dilaporkan kemudian berdiri sebelum terus pitam. Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat Koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Beliau kemudian menghantar anggota tentera terbabit ke Hospital Miri, sebelum doktor di situ mengesahkan mangsa meninggal jam 3.05 pagi.
BH ONLINE