Dr Mahathir enggan jawab soalan berulang mengenai keturunannya

KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kepada mahkamah, bukti kad pengenalan beliau yang menyatakan nama sebenarnya ialah Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Dr Mahathir yang disoal balas peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, Ahmad Zahid menghinanya dengan menyatakan namanya bukan Mahathir Mohamad, dan seluruh dunia mengetahui perkara itu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mempersoal tindakan peguam Ahmad Zahid itu yang didakwa kerap bertanyakan soalan berulang-ulang mengenai keturunannya, dan disifatkan sebagai tidak relevan dalam kes saman fitnah difailkannya itu.

“Anda asyik persoalkan keturunan saya, tetapi kes yang saya failkan adalah sama ada Ahmad Zahid berbohong atau tidak dan sama ada kenyataan beliau itu adalah fitnah.

“Buktikan saya bukan Mahathir bin Mohamad, itu caranya. Bukan dengan mempersoal perkara lain. Saya tidak mengambil tindakan (undang-undang) terhadap orang lain, tetapi apa yang dia (Ahmad Zahid) katakan.

“Buktikan. Tunjukkan IC (kad pengenalan) pada saya. (Soalan lain) tidak relevan. Saya tidak akan jawab,” katanya.

Pada peringkat itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong mencelah dengan meminta Dr Mahathir menjawab soalan peguam.

Techiong: Anda seorang yang mempunyai fikiran jelas. Saya pasti semua orang di sini kagum dengan anda. Saya harap kamu boleh beri kerjasama dengan menjawab soalan peguam.

Dr Mahathir: Tapi ia tidak relevan.

Techiong: Dengan hormatnya Tun, sebelum Julai 2017 iaitu tarikh kes saman ini difailkan, ada artikel sebelum itu yang menyatakan nama anda Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Mereka (peguam) berhak untuk tanya. Mereka cuba menunjukkan defendan (Ahmad Zahid) bukan pihak pertama menimbulkan persoalan ini.

Dr Mahathir: Banyak artikel yang ditulis tidak benar. Mereka menekankan nama datuk saya ialah Kutty. Saya sudah jawab perkara itu

Techiong: Ini sistem adversari. Ia berfungsi begitu. Anda di sini sebagai saksi dan peguam defendan berhak bertanyalan soalan balas. Prosesnya ialah selepas ini ada pemeriksaan semula oleh peguam anda bagi penjelasan.

Dr Mahathir: Saya akan jawab tetapi mereka asyik tanya soalan sama.

Pada peringkat itu, Mohamed Shahrul Fazli meminta prosiding ditangguhkan kepada 14 Oktober ini.

Dr Mahathir memfail saman itu pada tahun 2022 kerana mendakwa Ahmad Zahid mempersoal asal usulnya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Pada perbicaraan pagi tadi, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak pernah malu untuk mengakui mempunyai darah (keturunan India), namun fakta itu tidak bermakna beliau bukan Melayu.

Ketika itu beliau disoal oleh peguam, sama ada malu untuk dikaitkan berketurunan India dari selatan India, dan beliau menjelaskan bapanya, Mohamad Iskandar dilahirkan di Pulau Pinang dan didaftarkan sebagai orang Melayu dari Malaysia.

“Saya tidak malu untuk menyatakan saya mempunyai darah India tetapi itu tidak bermakna saya bukan Melayu,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak pasti sama ada datuk atau moyangnya yang berasal dari Kerala, India kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius dalam keluarganya.

BH ONLINE

Just Pic