Buruh rogol anak hingga bersalin dipenjara 72 tahun, 60 sebatan

KOTA BHARU — ‘Tolong ringankan hukuman saya, saya sudah taubat dan saya mahu kembali kepada anak-anak kerana mahu membimbing mereka’.

Demikian rayuan seorang buruh sebelum Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan 60 sebatan atas enam pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 15 tahun sehingga melahirkan anak di Kuala Krai, tahun lalu.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman selepas tertuduh yang berusia 46 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkenaan berjalan secara berasingan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani rehabilitasi dan kaunseling ketika berada di penjara selain pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman.

Tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 15 tahun ketika kejadian tanpa kerelaan yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama dan adat.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi sama iaitu sebuah rumah di Kampung Manek Urai, Kuala Krai antara Januari hingga Oktober 2023 sekitar jam 1 pagi sehingga 10 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah anak kandungnya dan perbuatan terkutuk itu menyebabkan mangsa hamil dan melahirkan anak lelaki.

Tertuduh pula menerusi rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan anak-anaknya masih kecil selain masih memerlukannya sebagai bapa.

“Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

BH ONLINE

Just Pic