Beri maklumat palsu ganti MyKad, remaja perempuan dipenjara 11 bulan

KOTA KINABALU — Seorang remaja perempuan dipenjara 11 bulan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu ketika memohon gantian kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu, pada 20 September lalu.

Tertuduh tanpa dokumen pengenalan diri yang hanya dikenali sebagai Sarah, 19, membuat pengakuan itu selepas didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan iaitu pada 20 September lalu dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.30 pagi pada 20 September, tertuduh datang ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah untuk membuat permohonan gantian kad pengenalan atas nama Noralisah Asliah dan mengemukakan dokumen sijil kelahiran atas nama yang sama, selain laporan polis kehilangan kad pengenalan.

Bagaimanapun, perbandingan cap ibu jari tertuduh didapati tidak sepadan dengan rekod kad pengenalan dalam Pangkalan Data JPN dan semakan turut mendapati rekod nombor kad pengenalan yang ingin diganti sudah dikeluarkan MyKad kepada orang lain berstatus warga negara.

Berikutan itu, tertuduh dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuaasan JPN Sabah untuk tindakan lanjut dan hasil soal siasat, tertuduh mengaku bernama Sarah, lahir di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, manakala sijil kelahiran yang dibawa bukan miliknya.

Tertuduh kemudian ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BH ONLINE

Just Pic