Bekas pembantu bilal fitnah timbalan pengerusi masjid didenda RM2,800

MELAKA — Bekas pembantu bilal didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memfitnah timbalan pengerusi sebuah masjid menerusi aplikasi WhatsApp, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Al-Azi Abd Ghani,42, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Khairunnisak Hassni selepas mengaku bersalah sebaik pertuduh berkenaan dibacakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Khairunnisak turut meneliti fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pemberatan hukuman dikemukakan pendakwaan.

Beliau menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda, namun tertuduh melunaskan bayaran itu.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Al-Azi didakwa memfitnah Mohd Arif Yusa,58, dengan menukar gambar kumpulan WhatsApp Al-Alami MITC kepada ‘Hj Arif Durjana’ dan menukar gambar kumpulan itu kepada gambar Mohd Arif yang diconteng dengan beberapa ayat : ‘aku boleh potong semua orang!!! Kau orang semua kalau nak selamat, kena dengar cakap aku!!! kalau tak kauorang akan aku pecat macam pegawai syarak Masjid MITC tu!!!.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada 28 Mei 2021, kira-kira jam 7.30 malam.

Tertuduh yang mengetahui tohmahan itu akan merosakkan nama baik pengadu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Mohd Arif menyedari perkara itu ketika membuka kumpulan WhatsApp masjid berkenaan dan mendapati gambar ikon sudah ditukar dengan gambarnya diconteng.

Selepas memeriksa, Mohd Arif mengetahui perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya iaitu tertuduh.

Sementara itu, peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman ringan kerana tertuduh yang kini berniaga burger sudah insaf atas kesalahan dilakukan dan wajar diberi peluang kedua.

Katanya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak juga ada berjumpa dan meminta maaf kepada Mohd Arif atas kesalahan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman setimpal dikenakan atas kesalahan dilakukan yang mana ketika kejadian tertuduh adalah pembantu bilal dan mangsa adalah timbalan pengerusi masjid.

BH ONLINE

Just Pic