Banjir: Mayat Muhammad Rosman ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit, ibu masih hilang

PADANG TERAP — Mayat remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Tanjung Kanan ditemui lemas petang tadi.

Mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras pagi tadi.

Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata mayat mangsa ditemui jam 5.35 petang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama lebih 10 jam di lokasi.

Beliau berkata, mayat mangsa dipercayai tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir.

“Bagaimanapun, setakat jam 6 petang tadi operasi SAR mencari ibu mangsa, Salmah Mat Zain, 46, masih diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi pencarian.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata penemuan sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki dipercayai menjadi petunjuk baharu untuk membantu operasi diteruskan.

Katanya, selipar ibu dan anak itu ditemui anggota pasukan penyelamat jam 3 petang tadi.

“Keadaan air surut membolehkan oerasi pencarian diteruskan sebelum mayat mangsa ditemui tidak lama kemudian.

“Operasi akan diteruskan untuk mencari ibu mangsa di lokasi pencarian sehingga jam 7 malam ini,” katanya.

Mulkiaman berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Media sebelum ini melaporkan, dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini.

Muhammad Rosman, 19, dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras di kawasan kampung yang dilanda banjir itu.

Kedua beranak itu dipercayai dihanyutkan arus deras selepas pulang dari membeli nasi lemak.

BH ONLINE

Just Pic