SANAA, 28 Mac – Tentera AS melancarkan 26 serangan udara baru ke atas ibu kota Yaman, Sanaa dan wilayah lain pada petang Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan tiga yang lain, lapor TV al-Masirah kendalian Houthi.
Lapan serangan udara dilancarkan di kawasan Al-Sawad di selatan Sanaa, dan 18 serangan udara menyasarkan beberapa bahagian wilayah Saada dan al-Jawf, kata TV al-Masirah.
Pihak AS masih belum mengulas mengenai kejadian itu.
Pada awal hari, TV al-Masirah melaporkan tentera AS melancarkan lebih 40 serangan udara ke atas Yaman pada Jumaat sebelum fajar, menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, Kem Perintah, kawasan Sarif dan tapak Jarban di kawasan Sanhan, serta beberapa tempat lain di wilayah utara.
Satu orang cedera, katanya.
Serangan sebelum fajar berlaku beberapa jam selepas Houthi mengaku bertanggungjawab melancarkan dua serangan peluru berpandu balistik ke Lapangan Terbang Ben Gurion di tengah Israel dan sasaran tentera di selatan Tel Aviv pada petang Khamis.
Ketegangan antara Houthi dan tentera AS telah meningkat sejak Washington memulakan serangan udaranya ke atas kawasan dikuasai Houthi di utara Yaman pada 15 Mac. Serangan itu menyusuli ancaman Houthi untuk meneruskan serangan ke atas sasaran Israel melainkan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.
Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump membayangkan bahawa serangan udara AS terhadap Houthi akan diteruskan.
XINHUA