Arwah memang berhajat meninggal pada Jumaat – Balu Allahyarham Eddin Syazlee

SEREMBAN — “Arwah memang berhajat untuk meninggal dunia pada Jumaat,” kata Datin Dr Nurul Azlin Ibrahim yang juga balu kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Allahyarham Datuk Eddin Syazlee Shith.

Dr Nurul Azlin berkata, suaminya meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi di kediaman mereka di Taman Bukit Chedang, di sini, akibat komplikasi penyakit barah yang dihidapi sejak April lalu.

Beliau berkata, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan terakhir di Hospital Pakar KPJ Seremban.

“Keadaan arwah sudah berada pada tahap kritikal, sebab itu dibawa pulang ke rumah semalam atas nasihat doktor,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, hari ini.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kariah Taman Bukit Chedang pada jam 11 pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disolatkan sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale selepas solat Jumaat.

Sementara itu Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, berkata pemergian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkenaan disifatkan sebagai kehilangan besar dalam dunia politik, khususnya buat parti itu di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Allahyarham adalah antara pengasas BERSATU di Negeri Sembilan dan telah memberi sumbangan besar kepada parti itu.

“Allahyarham menjadi tempat kami pemimpin muda mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar. Beliau sentiasa menasihati kami, dan mahu pemimpin muda dalam BERSATU negeri ini berusaha menjadi pemimpin yang berkualiti,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham.

Allahyarham Eddin Syazlee, 50, berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selama sepenggal selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2018.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bawah pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Timbalan Menteri Kerja Raya bawah pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bawah pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Pengerusi pertama Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU Ke-15, selain tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023.

BH ONLINE

Just Pic