Anggota tentera didakwa rogol, amang seksual anak tiri berusia 12 tahun

AMPANG — Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang baru berusia 12 tahun.

Bagaimanapun tertuduh yang berpangkat Koperal berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa atas dua pertuduhan merogol anak tiri perempuannya berusia 12 tahun yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Baiduri Cheras, pada 3 petang, Jun lalu dan 8 malam, 18 Ogos mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Askar itu juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi sama pada 4 petang, Julai lalu, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon jaminan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan kerana kesalahan itu adalah serius dan mengambil kira hubungan mangsa dan tertuduh adalah anak tiri.

“Pendakwaan juga mohon syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ibu mangsa masih lagi isteri yang sah kepada tertuduh,” katanya.

Peguam Mark Jeyakumar Michael mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kandungnya masing-masing berusia setahun, empat dan enam tahun.

“Anak guam adalah penanggung tunggal keluarga dan tanpanya agak susah untuk isterinya membiayai perbelanjaan keluarga kerana tertuduh yang menanggung perbelanjaan, selain dia perlu bertugas untuk berkhidmat kepada negara.

“Malah, tertuduh tidak pernah didakwa di mahkamah dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya yang mengesahkan isteri tertuduh yang akan menjadi penjamin.

Bagaimanapun, Nurfadzlin membantah isteri tertuduh menjadi penjamin kerana dia adalah saksi pendakwaan selain tidak bekerja yang mungkin membebankan wanita itu.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

“Tertuduh juga dilarang mengganggu, tidak melawat mangsa meskipun bersama ibu di JKM seterusnya berbual sama ada menggunakan mesej pesanan ringkas atau apa-apa yang boleh mengganggu perbicaraan,” katanya yang turut menetapkan sebutan kes 6 November ini.

BH ONLINE

Just Pic