AGC failkan notis rayuan terhadap hukuman lelaki didenda RM6,000 miliki video, gambar bogel anak tiri

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Muar, Johor, menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang lelaki kerana memiliki 18 rakaman video dan gambar bogel anak tirinya berusia 15 tahun.

AGC berkata, notis rayuan itu difailkan terhadap hukuman dijatuhkan mahkamah ke atas pekerja pembersihan berusia 56 tahun terbabit yang mengaku bersalah memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak membabitkan 18 rakaman video bogel dan beberapa keping gambar bogel mangsa perempuan berkenaan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Selepas mempertimbangkan keputusan Mahkamah Sesyen Muar, AGC hari ini memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap hukuman denda yang dijatuhkan ke atas pesalah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Muar, Nariman Badruddin, menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap lelaki itu kerana merakam dan memiliki bahan lucah berupa video dan gambar bogel mangsa.

“Perbuatan kamu (rakam) sangat teruk. Mahkamah berharap kamu insaf dengan perbuatan ini, janganlah ulangi kesalahan seperti ini,” katanya.

Sebelum itu, tertuduh mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi, antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu.

BH ONLINE