KUALA LUMPUR – Sebanyak 881 perkahwinan dibawah umur direkodkan sejak 2022 hingga tahun lalu termasuk 518 remaja perempuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.
Katanya, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi dengan 193 perkahwinan didaftarkan, diikuti Selangor (133), Terengganu (115), Kedah (126), Johor (73), Sabah (63), Pahang (51), Perlis (39), Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan (27), Melaka (19) serta empat di Pulau Pinang.
Menurutnya, bagi memastikan prosedur permohonan pernikahan bawah umur di tepati, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus bagi permohonan nikah bawah umur.
“Ia dinyatakan melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bilangan 1 Tahun 2018 yang berkuatkuasa pada 28 September 2018.
“SOP ini sangat menekankan dan mengutamakan aspek kemaslahatan kanak-kanak yang ingin berkahwin yang mana Mahkamah Syariah perlu membuat penilaian teliti dan menyeluruh berdasarkan SOP tersebut sebelum suatu kebenaran perkahwinan di bawah umur minimum diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendara) di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.
Mohd Naim berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (KPJKSN) dan Mahkamah Syariah Negeri (MSN) Kali ke-14 pada 29 Oktober 2024 turut membentangkan mengenai model pengurusan perkahwinan bawah umur sebagaimana dilaksanakan Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur, untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.
“Di samping itu, JAKIM juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menjayakan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur,” katanya.
Mohd Naim berkata, dibawah Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan umur minimum untuk perkahwinan iaitu bagi lelaki tidak kurang dari 18 tahun atau perempuan tidak kurang daripada 16 tahun.
BH ONLINE