61 warga China, Filipina ditahan kerja di pulau sekitar Semporna secara haram

TAWAU — Jabatan Imigresen menahan 61 warga asing dari China dan Filipina selepas dikesan bekerja secara haram di pusat peranginan dan pulau sekitar Semporna, di sini.

Mereka antara 95 yang diperiksa dalam serbuan sempena Ops Mahir bermula jam 7.45 pagi hingga 3 petang di tapak pembinaan resort di dua pulau semalam, dengan rata-rata yang ditahan hanya memiliki visa pelancong dan pas lawatan sosial.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Salehah Habib Yussof berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang awam mengenai warga asing yang tidak memiliki pas atau permit sah untuk bekerja di tapak pembinaan di pusat peranginan berkenaan.

“Dalam operasi itu, keseluruhan 95 individu diperiksa sebelum 36 warga China dan 25 warga Filipina ditahan.

“Mereka yang ditahan masing-masing berusia antara 19 hingga 64 tahun,” katanya pada sidang media di Depot Tahanan Imigresen Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, semakan lanjut dilakukan mendapati semua warga asing terbabit melanggar syarat pas ditetapkan, tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk bekerja atau berada di Malaysia selain tinggal lebih masa.

“Kita mengesyaki ada ejen atau dalang dalam kalangan warga tempatan menguruskan kemasukan warga asing ini dan tindakan sedang giat dijalankan untuk mengesan mereka termasuk pemilik premis atau tanah terbabit.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 4,110 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di empat depot tahanan Imigresen seluruh Sabah diusir pulang ke negara asal masing-masing, setakat Ogos tahun ini.

Selain itu, katanya, kapasiti setiap depot juga dijangka berkurangan apabila 500 lagi tahanan warga Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga Khamis ini.

BH ONLINE

Just Pic