2 maut, Viva buat pusingan U dirempuh motosikal berkuasa tinggi

BESUT — Pemandu Perodua Viva serta penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaan mereka terbabit nahas di Kampung Baru, Kuala Besut, jam 9.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor, berkata pemandu kereta, Aziz Deris, 59, dari Kuala Besut cedera parah di kepala.

Penunggang motosikal, Mohd Alfendi Che Mat Nor, 38, dari Jerantut, Pahang parah di kepala serta anggota badan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Aziz berada di kiri jalan dari arah Jertih ke Kuala Besut membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Pada masa sama, motosikal berkuasa tinggi dari belakang melanggar kereta berkenaan,” katanya dihubungi hari ini.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sidiq Che Omar di talian 011-3170 2709.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati memandu dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kemalangan,” katanya.

BH ONLINE

Just Pic