QUITO — Dua orang maut dan seorang cedera pada Selasa apabila pesawat kecil mereka terhempas di Santa Rosa, wilayah pantai selatan El Oro di Ecuador, kata Direktorat Am Penerbangan Awam.
Pesawat ringan Piper-34 itu terbang dari bandar pantai barat daya Guayaquil menuju ke Santa Rosa, kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Juruterbang David Parreno dan seorang penumpang, Augusto Viera, maut dalam kemalangan itu, manakala penumpang kedua, Adrian Yumbala, cedera dan dibawa ke pusat kesihatan untuk rawatan.
Kakitangan dari Lembaga Penyiasat Kemalangan ke tempat kejadian untuk menyiasat, kata kenyataan itu.
Menurut laporan media, penduduk tempatan berkata pesawat itu jatuh di kawasan hutan di atas bukit, dan pasukan penyelamat berkata bangkai pesawat itu terbakar.
Ini adalah kemalangan pesawat keempat di negara Amerika Selatan itu dalam tempoh dua bulan lalu.
Pada 26 April, sebuah helikopter tentera terhempas di wilayah timur laut Pastaza, menyebabkan lapan terkorban, dan pada 6 Mei, sebuah helikopter tentera laut terhempas di wilayah pantai barat Santa Elena, mengorbankan dua juruterbang.
Tiga hari kemudian, sebuah pesawat Cessna mengalami insiden semasa berlepas di landasan di Morona Santiago, tetapi tiada mangsa.
XINHUA