2 maut, 7 parah mesin proses getah meletup di Tangkak

TANGKAK – Dua pekerja kilang maut, manakala tujuh lagi parah selepas satu daripada lima mesin pembuatan dan pemprosesan getah meletup di sebuah kawasan perindustrian dalam daerah ini, semalam.

Mereka yang terbunuh adalah dua pekerja tempatan masing-masing berusia 40-an hingga 50-an dengan semua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu, sembilan mangsa termasuk tiga warga asing terbabit dalam insiden itu.

Beliau berkata, mereka terdiri enam warga tempatan manakala tiga lagi warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kesemua mangsa sedang menyelenggara lima mesin di kilang terbabit.

“Bagaimanapun, salah satu mesin secara tiba-tiba meletup hingga mencederakan sembilan pekerja. Dua daripadanya parah namun meninggal dunia ketika dirawat manakala tujuh lagi yang cedera dirawat di zon merah HPSF.

“Proses bedah siasatan ke atas kedua-dua mangsa bermula pagi ini bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

BH ONLINE

ad