2 maut, 2 hilang dalam runtuhan lombong pasir di Indonesia

JAKARTA — Tanah runtuh di lombong pasir di Jawa Timur, Indonesia, mengakibatkan dua pelombong maut, dengan dua lagi terperangkap.

Kejadian berlaku di kampung Pronojiwo, wilayah Lumajang, pada Selasa. Lima pelombong sedang bekerja berhampiran tebing di tepi sungai apabila tanah runtuh melanda, menimbus empat manakala seorang dapat melarikan diri.

Agensi Tebatan Bencana Negara (BNPB) mengumumkan pada Khamis bahawa dua mayat telah ditemui dari runtuhan, satu ditemui pada Selasa dan satu lagi pada Rabu.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata usaha mencari baki dua pelombong sedang dijalankan, dengan jentera berat dan anjing penyelamat membantu usaha itu.

XINHUA