1MDB: Tiada bukti cukup dakwa bekas gabenor BNM – Menteri

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung dakwaan pemindahan berbilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke luar negara.

Ia didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen pada 27 Februari lalu.

Azalina menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa tiada tindakan dikenakan terhadap Zeti atas kesilapannya membiarkan wang 1MDB bernilai berbilion dipindah ke luar negara.

Lip Eng juga bertanyakan sama ada siasatan penuh dibuat ke atas aset Zeti, suaminya dan anak-anak mereka.

Azalina berkata, berdasarkan input daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dalam kes penyelewengan 1MDB dan tidak menumpukan kepada mana-mana individu sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan ke atas suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman dijalankan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), PDRM di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] bersabit laporan polis Dang Wangi repot: 12267/18.

Katanya, siasatan kes itu masih diteruskan oleh pihak AMLA.

“Pihak AMLA PDRM tiada membuka kertas siasatan terhadap Zeti dan ahli keluarga. Walau bagaimanapun, pegawai penyiasat AMLA telah menjalankan siasatan dengan mengambil rakaman percakapan di bawah Seksyen 32 Akta 613 terhadap Tawfiq dan anak mereka, Aziz Ayman dan Alif Ayman Aziz bagi membantu siasatan kes 1MDB.

“Saya menjawab bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada mereka, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Zeti.

“Namun begitu, perlu mengambil perhatian bahawa bagi tindakan jenayah bagi mana-mana pihak tiada limitasi dari segi masa,” katanya.

BH ONLINE

ad