17 wanita asing mangsa buruh paksa diselamatkan polis

KUALA LUMPUR — Polis menyelamatkan 17 wanita warga Indonesia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, malam tadi.

Mangsa berusia antara 25 hingga 45 tahun diselamatkan dalam Operasi Pintas (Op Pintas) oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, jam 9.30 malam.

Ketua Penolong Bahagian D3 ATIPSOM JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata siasatan mendapati rumah yang diserbu itu dijadikan asrama oleh sebuah syarikat perkhidmatan pembantu rumah.

Beliau berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat berlaku eksploitasi buruh paksa ke atas semua mangsa yang diberikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah bekerja dengan majikan itu antara enam bulan sehingga dua tahun.

“Terdapat antara mangsa mengadu bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji sejak mula bekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua mereka diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).

Dalam serbuan sama, Soffian berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai majikan dan penyelia.

“Penyelia yang ditahan ditugaskan untuk mengambil dan menghantar mangsa ke tempat kerja masing-masing.

“Ketiga-tiganya ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya.

BH ONLINE