KUALA LUMPUR — Polis menahan 17 individu disyaki mendalangi sindiket pelaburan palsu ‘Phanteon Ventures’ yang membabitkan kerugian hampir RM33 juta dalam serbuan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka yang ditahan itu adalah warga tempatan berusia antara 23 hungga 52 tahun termasuk seorang wanita.
Menurutnya, dalam serbuan itu baru-baru ini pihaknya turut merampas 13 telefon bimbit, satu komputer riba, enam kad pengeluaran wang (ATM), dua set dokumen pendaftaran syarikat, satu cop syarikat dan satu penyata akaun bank.
Katanya, pihaknya sedang memburu tujuh lagi individu yang disyaki ada kaitan dengan sindiket berkenaan termasuk enam lelaki.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK di sini, hari ini.
Ramli berkata sejak Januari 2024, pihaknya sudah membuka 66 kertas siasatan berkaitan skim pelaburan palsu Pantheon Ventures dengan jumlah kerugian setakat ini mencecah RM32,972,448.15.
Katanya, sebanyak 20 akaun bank membabitkan tujuh syarikat, 12 perniagaan dan satu akaun persendirian dikesan digunakan oleh sindiket penipuan ini.
“Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu Pantheon Ventures untuk mengelirukan mangsa,” katanya.
Ramli berkata Pantheon Ventures adalah sebuah syarikat pelaburan yang sah berpangkalan di United Kingdom dan ditubuhkan sejak tahun 1982.
Bagaimanapun, katanya, syarikat ini tidak mempunyai kaitan dengan skim pelaburan Pantheon Ventures yang ditawarkan sindiket penipuan ini.
Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pengiklanan serta komunikasi dengan mangsa.
“Iklan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook dengan mengaplikasikan sistem algorithm Facebook bagi mencapai hasil yang optimum.
“Tawaran keuntungan yang ditawarkan adalah sekitar enam hingga 400 peratus sehari bergantung kepada pakej ditawarkan,” katanya.
Selain itu, Ramli berkata mangsa turut diyakinkan pelaburan mereka adalah terjamin dengan adanya bimbingan daripada ‘cikgu trader’ yang kononnya pakar dalam analisis pasaran modal.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa diarahkan untuk mendepositkan wang ke akaun tertentu atas nama syarikat, perniagaan atau individu dan memuat turun aplikasi APEX dan NEEQ melalui App Store dan Google Store.
“Bagaimanapun mangsa akhirnya tidak menerima keuntungan sebagaimana yang dijanjikan,” katanya.
BH ONLINE