KOTA KINABALU — Seramai 153 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 25 wanita dihantar pulang ke negara asal, semalam.
Tahanan Depot Imigresen Tawau yang berusia antara enam hingga 66 tahun itu dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata Imigresen turut menghantar pulang lima kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri Ke-10 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express.
“PATI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Pemindahan PATI akan dilakukan selepas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.
“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Imigresen Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,”
BH ONLINE