KUANTAN — Seramai 12 individu, termasuk empat kanak-kanak, cedera apabila dua kereta bertembung di Jalan Felda Jengka 4 menghala ke Maran, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, insiden itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City dinaiki tiga lelaki dan dua wanita dengan Perodua Bezza yang membawa seorang lelaki, dua wanita serta empat kanak-kanak.
Katanya, lapan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.29 tengah hari tadi.
“Pasukan bomba telah membantu mengeluarkan pemandu Honda City yang tersepit di dalam kereta itu.
“Mangsa cedera kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu dalam kejadian berasingan di Temerloh, seorang pemandu dan jururawat cedera ringan apabila ambulans dinaiki mereka terbalik, pagi tadi.
Kejadian berlaku selepas ambulans itu dipercayai hilang kawalan ketika mengelak sebuah motosikal di Kilometer 115.2 Lebuh Raya Pantai Timur menghala ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua pemandu dan dua jururawat sedang dalam perjalanan balik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.
Setiba di lokasi, beliau berkata, pemandu ambulans itu dikatakan cuba mengelak motosikal berkenaan, namun kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas serta melanggar penghadang besi di sebelah kanan jalan.
“Tiada perlanggaran berlaku dengan motosikal itu. Namun akibat kemalangan itu, seorang pemandu lelaki yang juga penumpang hadapan berusia 42 tahun mengalami luka di lutut kiri, manakala seorang jururawat lelaki berumur 34 tahun pula luka di siku kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
BH ONLINE – BERNAMA