KOTA TINGGI — Lebih 100 nelayan dari Pangkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang, di sini membuat laporan polis berhubung insiden tumpahan minyak yang menjejaskan perairan, susulan pelanggaran kapal di negara jiran, Singapura.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd Ali, 56, berkata laporan itu dibuat berikutan kerugian ditanggung komuniti nelayan di kawasan terjejas akibat tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.
Katanya, sejak tujuh hari lalu, mata pencarian utama berkurangan kerana tidak dapat mencari hasil laut akibat tumpahan minyak.
“Benar, kami ada membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rengit berhubung insiden ini pada semalam dan kelmarin. Kami meminta agar pihak insurans dan pihak berkaitan bertanggungjawab terhadap nasib kami yang tidak dapat mencari rezeki,” katanya.
Rosli yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan berkata pagi tadi, dua bot nelayan cuba ke laut untuk menangkap ikan dan melihat persekitaran lautan sama ada sudah pulih atau sebaliknya, namun didapati masih terdapat tompokan minyak di perairan.
“Kami sudah seminggu tidak menangkap ikan, tiada hasil dan pendapatan juga tiada. Sebagai manusia kami juga ada perut dan mulut yang hendak diberi makan.
“Jadi tadi pagi dua buah nelayan turun ke laut dengan harapan boleh memukat atau menjaring ikan tetapi apabila melihat keadaan tidak mengizinkan mereka pulang semula ke darat.
“Kami lihat lagi dua atau tiga hari, dengan harapan keadaan tompokan minyak ini tiada di perairan. Apabila keadaan sudah bersih, kami boleh cari makan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, ketika dihubungi mengesahkan kira-kira 101 laporan polis diterima daripada persatuan nelayan berhubung insiden itu.
“Kita terima lebih kurang sebanyak 101 laporan polis daripada persatuan nelayan sekitar Bayu Damai, Pengerang dan Sungai Rengit akibat tumpahan minyak di perairan Singapura. Laporan polis mereka ini akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan, difahamkan untuk tuntutan sivil kepada syarikat perkapalan terbabit,” katanya.
Dalam kejadian 14 Februari lalu, sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang, menyebabkan berlaku limpahan minyak sebanyak 400 tan mengalir ke kawasan perairan.
Pihak berkuasa Singapura dilaporkan memperluaskan usaha pembersihan ke lebih banyak kawasan perairan republik itu berikutan tumpahan minyak besar dikesan merebak sehingga ke perairan Changi.
BH ONLINE